Satu Impian Yang Akhirnya Terjawab
2 Feb 2010, 10:00 AM
Posted in Bulletin, Topic
Penggal sekolah bagi tahun 2010 telah bermula seperti tahun-tahun yang lepas. Apa yang berlainan pada tahun ini ialah terdapat seorang murid darjah satu yang khas yang turut membawa beg sekolahnya seperti murid darjah satu yang lain. Adik yang bernama Lim Sae Wang ini kelihatan begitu ceria dan bersemangat pada hari pertama persekolahan.
Beberapa hari sebelum permulaan penggal sekolah tahun ini, bapa kepada Sae Wang iaitu Encik Lim Tow Leong, bekas anggota Tentera Di Raja Malaysia masih lagi dalam perasaan bimbang dengan status kewarganegaraan Sae Wang. Menurut Tow Leong, beliau telah membuat segala persediaan bahawa sekiranya permohonan hak kewarganegaraan bagi Sae Wang tidak diluluskan maka dia sendiri akan memberi pendidikan kepada anaknya di rumah.

Sdra Lau Yeng Peng menyemak permohonan Sae Wang.
Walaubagaimanapun, setelah kes adik Sae Wang dirujukkan kepada Parti Gerakan Rakyat Malaysia Negeri Pulau Pinang pada bulan November 2009, Sdra Datuk Lau Yeng Peng yang merupakan pegawai khas kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien telah berusaha untuk mengkaji dan mempercepatkan permohonan kes ini.
Berita kelulusan permohonan status kewarganegaraan adik Sae Wang yang disampaikan sejurus sebelum permulaan penggal sekolah 2010 adalah begitu bermakna dan menyenangkan hati Tow Leong sekeluarga.
Kita sememangnya ingin menyampaikan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin kerana di bawah pimpinan dan keprihatin beliau, dalam masa yang singkat, banyak kes-kes yang sedemikian telah diproses dengan professional dan teliti dan diselesaikan dengan sempurnanya.

Lim Tow Leong dan seisi keluarga bersyukur kerana status kewarganegaraan Sae Wang telah diluluskan.
Kita percaya bahawa masih lagi ramai yang berhadapan dengan masalah kewarganegaraan di negara ini. Kita menyeru kepada mereka yang berkenaan supaya memohon atau merayu atas perkara itu melalui pihak-pihak yang boleh dipercayai.
Bagi mereka yang mempunyai asas dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, kita berkeyakinan dengan keprihatinan dan kepimpinan Menteri Dalam Negeri dan pegawai-pegawai di kementerian beliau yang sedia membantu, kes-kes yang telah ditangguhkan begitu lama akan dipercepatkan prosesnya.
Sekali lagi teringat akan senyuman adik Sae Wang dan semangatnya apabila berada di sekolah, saya begitu terharu dan berharap semoga bagi mereka yang berkenaan yang telah lama berada di negara tercinta ini dan masih tertunggu-tunggu akan permohonan kewarganegaraan mereka dapat diberikan pertimbangan yang sewajarnya.
1 Malaysia untuk mereka yang berbakti dan cintakannya.
Artikel ini telah diterbit dan diedarkan melalui BULETIN GERAKAN4U JAN 2010/BIL.1
by Meja Pengarang
Buletin Gerakan4u

0 comment, be the first to comment