Parti Gerakan logo

RENCANA: Penguncupan Pelaburan Di Pulau Pinang

13 May 2010, 10:00 AM
Posted in Bulletin

PENGUNCUPAN PELABURAN DI PULAU PINANG:
Berpunca Daripada Krisis Ekonomi Global Ataupun
Akibat Ketumpulan Strategi Kerajaan Negeri?

Pengumuman statistik pelaburan bagi sektor perkilangan bagi tahun 2009 amat mengejutkan banyak pihak, terutamanya para industrialis. Statistik tersebut menyatakan bahawa Pulau Pinang hanya mencatat pelaburan berjumlah RM2.2 bilion bagi sektor perindustrian bagi tahun 2009. Ini merupakan penguncupan yang ketara berbanding jumlah pelaburan yang diterima bagi tahun 2008 iaitu RM10.2 bilion, ini juga merupakan pengurangan sebanyak RM8.08 bilion atau 79 peratus! Malahan, jika dibandingkan purata kejatuhan pelaburan bagi Malaysia bagi tahun 2009 berbanding 2008 hanyalah 48 peratus.

Ini mencerminkan fenomena negatif ekonomi semasa Pulau Pinang yang membimbangkan. Lebih menyedihkan, kini Pulau Pinang mendahului negeri-negeri lain di dalam negara dengan peratusan perbandingan negatif yang tertinggi bagi sektor perkilangan.

Akibat daripada kejatuhan pelaburan yang ketara ini, ia bakal mengundang implikasi-implikasi seperti berikut:

  • (1) Menjejaskan pengeluaran dan menyebabkan imbangan perdagangan antarabangsa yang negatif;

  • (2) Kekurangan dasar dan usaha yang efektif untuk menarik para pelabur akan menjejaskan asas perindustrian Pulau Pinang kukuh yang telah dibangunkan hampir 40 tahun iaitu sejak tahun 1970;

  • (3) Pertumbuhan KDNK per kapita akan menurun dan membawa impak negatif kepada taraf hidup dan kuasa membeli rakyat Pulau Pinang; dan

  • (4) Membawa kemerosotan pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan yang diceburi sepenuhnya oleh para pengusaha tempatan.

    Selain daripada implikasi-implikasi tersebut, kemelesetan pelaburan sektor perkilangan tahun 2009 akan membawa kesan negatif secara tidak langsung kepada pembangunan modal insan di Pulau Pinang. Statistik 2009 merekodkan peluang pekerjaan baru bagi sektor perindustrian juga telah menurun sebanyak 61 peratus atau kekurangan 8,699 pekerjaan baru yang diwujudkan pada tahun 2009 berbanding 22,215 pada tahun 2008. Ini menggambarkan pengurangan 13,519 peluang pekerjaan baru!

    Kekurangan peluang pekerjaan baru seterusnya akan membawa kepada kesan pengganda (multiplier effects) yang negatif kepada keseluruhan ekonomi dan pembangunan modal insan dalam negeri. Ini akan membabitkan para mahasiswa dan mahasiswi yang baru tamat pengajian dan mengakibatkan mereka gagal memasuki pasaran sektor perindustrian.

    Sehubungan itu, pembangunan sumber manusia di Pulau Pinang juga akan terjejas sekiranya isu ini berlarutan kerana ia mengurangkan bekalan tenaga kerja yang berpengalaman dan berkualiti bagi syarikat-syarikat multi nasional yang melabur dan bertapak di Pulau Pinang. Faktor ini juga akan merencatkan proses pemindahan teknologi (technology transfer) kepada warga dan syarikat tempatan.

    Kerajaan Negeri Pulau Pinang mestilah menumpukan lebih perhatian di dalam usaha merumuskan strategi yang lebih efektif dan bernas untuk menarik lebih banyak pelaburan di sektor perkilangan ini. Bagi memastikan kejayaan usaha ini, kerajaan negeri mestilah bekerjasama rapat dengan agensi-agensi kerajaan persekutuan, terutamanya MITI dan MIDA yang terlibat secara langsung berkaitan urusan perlesenan, kelulusan permit dan pemberian insentif.

    Persoalan sekarang ini adalah sama ada kerajaan negeri telah sedar dari lamunan indahnya bahawa keadaan kini semakin mendesak dan mereka perlu merealisasikan janji-janji politik yang telah ditabur selama ini, dan berhenti menuding jari menuduh setiap permasalahan yang timbul kepada pentadbiran negeri yang terdahulu. Kerajaan negeri perlu membuktikan kesungguhan mereka dan merangka pelan tindakan ekonomi yang konkrit untuk membawa Pulau Pinang keluar dari kemelut ekonomi ini.

    Rencana ini telah diterbit dan diedarkan melalui BULETIN GERAKAN4U APR 2010/BIL.2

    by Sdr. Mark Ooi Swee Hing
    Penyelaras DUN Pulau Tikus

  • Post Comment

    Commenting is not available in this section entry.