Parti Gerakan logo

RENCANA: Lesen Judi Bola Tidak Patut Diluluskan

20 Aug 2010, 12:50 PM
Posted in Bulletin

Apabila Timbalan Menteri Kewangan mengumumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk mengeluarkan lesen judi bola kepada Ascort Sports, pengumuman ini telah menimbulkan pelbagai reaksi dari segenap masyarakat. Antara parti-parti komponen Barisan Nasional juga bercanggah pendapat sesama sendiri. Perbezaan pendapat telah memberi peluang kepada Pakatan Rakyat ‘menyerang’ Barisan Nasional.

Sebagai seorang warga Malaysia yang cintakan negara, masyarakat, keluarga dan bertanggungjawab kepada agama, kita membantah sekeras-kerasnya lesen judi bola diluluskan. Judi adalah perbuatan yang amat bertentangan dengan semua ajaran agama. Ia adalah aktiviti haram dari segi syarak agama Islam dan bercanggah dengan tatacara hidup dan moral.

Adakah lesen judi bola dikeluarkan membawa erti bahawa kita telah ‘menghalalkan’ dan menerimanya sebagai satu aktiviti normal? Adakah judi bola bukan lagi satu perbuatan salah dan melanggari perundangan negara? Ini akan menggalakkan orang ramai, terutamanya pemuda atau pelajar yang dulunya tidak berani berjudi, melakukannya tanpa segan silu dan ketakutan lagi. Bagaimana pihak berkuasa akan mendidik masyarakat bahawa judi adalah satu perbuatan yang jijik dan merosakkan?

Justifikasi kerajaan bahawa pemberian lesen judi bola akan memudahkan pengawalan aktiviti judi haram adalah tidak tepat.

Tiada jaminan sekatan penjudi akan berjudi dengan sah, sebaliknya akan melahirkan lebih ramai penjudi di kalangan masyarakat. Mereka yang tidak tahu saluran judi bola haram tidak dapat berjudi akan mendapat kemudahan kedai-kedai judi bola yang didirikan apabila lesen diluluskan. Kedai-kedai judi bola akan menjadi tarikan dan mempengaruhi orang ramai untuk mencuba nasib mereka.

Justifikasi kerajaan bahawa pemberian lesen akan meningkatkan kutipan hasil yang akan manfaatkan rakyat dan negara tidak dapat diterima. Kita harus menimbang tara manfaat dan mudarat hasil daripada judi berlesen. Mereka yang melarikan diri kerana berhutang along mempropagandakan keluarga sehingga sanggup membunuh diri. Pelbagai masalah sosial kepincangan masyarakat akan mengganggu keharmonian negara. Kisah sedih dan menyayat hati ini akan berlaku di sekeliling kita dan mungkin melibatkan adik beradik, saudara mara dan kawan-kawan kita.

Pemberian lesen juga akan menggalakkan budaya berjudi yang melahirkan masyarakat yang bergantung kepada nasib berbanding bergantung dengan usaha sendiri. Judi menjadikan seseorang itu tamak dan akan mendorong banyak kes penipuan. Masyarakat kita akan terjejas apabila orang miskin menjadi lebih miskin.

Pemberian lesen judi bola tidak mendatangkan sebarang manfaat dan kebaikan umum rakyat. Rakyat biasa semata-mata menjadi mangsa individu-individu tertentu yang bergelar ‘Toukeh Judi’. Pemerintah harus bertanggungjawab dan mengutamakan kepentingan rakyat umum yang kerap disarankan oleh pihak kerajaan.

Rencana ini telah diterbit dan diedarkan melalui BULETIN GERAKAN4U JULAI 2010/BIL.3

by Sdri Hartini Tan Binti Abdullah
Penyelaras DUN Bukit Tambun

Post Comment

Commenting is not available in this section entry.