RENCANA: Janji Manis & Janji Kosong DAP
2 Feb 2010, 11:14 AM
Posted in Bulletin
Dasar CAT (Cekap, Akauntibiliti & Telus) yang diperkenalkan oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang adalah hanya slogan untuk mengabui mata rakyat. Penganalisaan perlaksanaan janji-janji Kerajaan DAP Pulau Pinang jelas membuktikan ia telah gagal memenuhinya. Hampir kesemua janji-janji manis Kerajaan DAP telah dilupakan, diketepikan atau dilaksanakan tanpa perancangan terperinci. Janji-janji manis ini telah menjadi janji-janji kosong.
Sebahagian besar rakyat masih lagi menaruh harapan besar kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang. Tetapi, jika pengotaan janji-janji dijadikan kayu ukur, sama ada DAP boleh terus diberi mandat pada masa hadapan, jawapannya tentulah TIDAK!
Apakah janji-janji tersebut? Secara ringkas, sebahagian kecil janji-janji ini adalah seperti berikut:-
1. Perkampungan Buah Pala adalah terjamin jika DAP menerajui kerajaan Pulau Pinang, sebaliknya perkampungan ini telah dirobohkan.
2. Penghuni-penghuni Rumah Hijau di Mak Mandin akan dibenarkan terus menetap di sana dan tidak perlu berpindah. Sebaliknya, mereka didesak untuk berpindah. Mujur, beberapa pemimpin tempatan Barisan Nasional sedang berusaha untuk menghalang pengusiran ini.
3. Pengutipan bayaran letak kereta pada hari Ahad akan dimansuhkan. Tetapi yang terjadi adalah sebaliknya di mana masa pengutipan bayaran letak kereta dilanjutkan.
4. Mengadakan pilihanraya untuk memilih ahli-ahli Majlis MPPP dan MPSP. Sekarang, DAP berdolak-dalih mengatakan ia tidak dapat dilaksanakan kerana bantahan daripada PAS dan PKR serta masalah perundangan.
5. Mewujudkan pekerjaan-pekerjaan baru. Hakikatnya, banyak rakyat Pulau Pinang telah hilang perkerjaan atau menganggur, ini telah menjadikan lebih banyak rakyat menjadi semakin miskin dan terpinggir.
6. Menghapuskan kemiskinan tegar. Kerajaan DAP Pulau Pinang telah mengumumkan bahawa ia telah berjaya 100% menghapuskan kemiskinan tegar. Anehnya, di tepi jalan, di kawasan setinggan, di perkampungan, masih kelihatan rakyat yang sengsara kehidupannya.
7. Pemberian sumbangan kewangan sebanyak RM6000 kepada setiap isirumah yang pendapatan tahunannya kurang dari RM6000. Setakat ini hanya sebanyak RM100 yang diberi dalam bentuk bekalan air percuma.
8. Menghapuskan kutipan tol di Sg Nyiur, sehingga hari ini tiada usaha gigih untuk berunding dengan pengusaha tol untuk menghapuskan kutipan tol tersebut.
9. Mengurangkan kadar jenayah tetapi tiada program-program khusus untuk menanganinya dan tiada kerjasama akrab Kerajaan DAP dengan pihak polis.
10. Menanam sebanyak 1 juta pokok di Pulau Pinang. Jika benar, akan kelihatan banyak pokok-pokok baru di Pulau Pinang. Pokok-pokok di kawasan sekitar Taman Botani pula ditebang.
11. Menentang OSA (Akta Rahsia Rasmi) tetapi tidak melayani permintaan supaya minit-minit mesyuarat Kerajaan DAP Pulau Pinang mengenai Perkampungan Buah Pala didedahkan sepenuhnya.
12. Membaiki sistem pengangkutan awam sebagai alternatif jimat kos. Kerajaan DAP Pulau Pinang telah mengelirukan sistem pengangkutan monorel negeri dengan pelbagai cadangan tambahan yang tidak dirancang dengan terperinci seperti keretapi bawah tanah, keretapi tram, dan keretapi “aerobas”.
13. Penubuhan Syarikat Bas Pulau Pinang yang kononnya akan memberi khidmat bas yang lebih baik berbanding dengan RapidPenang. Setakat ini, perkara ini telah disenyapkan.
14. Menarik pelaburan. Tetapi Kerajaan DAP Pulau Pinang telah melepaskan peluang keemasan apabila menolak pelaburan sebanyak RM10.2billion. Ini adalah satu kegagalan yang amat mendukacitakan.
Kesimpulannya, Kerajaan DAP Pulau Pinang dalam hampir 2 tahun ini telah menunjukkan dengan jelas mereka tidak berupaya memerintah. Akan tetapi, persoalan yang lebih penting ialah adakah Barisan Nasional khususnya Gerakan telah berubah dan dapat menyakini rakyat yang Parti Gerakan Rakyat Malaysia boleh diberi peluang sekali lagi.
Rencana ini telah diterbit dan diedarkan melalui BULETIN GERAKAN4U JAN 2010/BIL.1
by Sdr. H’ng Khoon Leng
Naib Ketua Pemuda

0 comment, be the first to comment