Parti Gerakan logo

RENCANA: Bolehkah Malaysia Menjadi Muflis?

20 Aug 2010, 1:00 PM
Posted in Bulletin

Baru-baru ini, terdapat banyak tindakbalas dari pelbagai pihak lanjutan komen-komen yang dibuat oleh Datuk Seri Idris Jala, Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri yang juga merupakan CEO PEMANDU (Performance Management and Delivery Unit) di mana beliau mengatakan bahawa Malaysia akan menjadi muflis tiba tahun 2019 sekiranya kerajaan tidak mengurangkan subsidi-subsidi yang berjumlah RM74 bilion dalam tahun 2009 dan pinjaman.

Jadi…bolehkah Malaysia menjadi muflis? Bolehkah Malaysia mengelakkan situasi tersebut? Perkara ini mungkin akan terjadi berdasarkan taklimat yang diberikan oleh Datuk Seri Idris Jala. Saya berpendapat bahawa situasi ini boleh dielakkan jika pemimpin-pemimpin Malaysia mengambil tindakan yang sewajarnya dan “menyediakan payung sebelum hujan”.

Dalam dunia bisnes, telah dibuktikan bahawa sistem tender terbuka untuk projek-projek yang ditawarkan merupakan sistem yang berkesan untuk mendapatkan produk yang terbaik untuk harga yang terendah. Oleh yang demikian, adalah wajar untuk kerajaan Malaysia mengikuti sistem ini secara terbuka lebih-lebih lagi semasa menawarkan projek-projek besar seperti projek pembinaan Istana Negara. Ini akan memastikan kontraktor/pembekal yang dipilih adalah berkaliber dan mampu menyiapkan projek-projek dengan kualiti yang tinggi sejajar dengan harga yang berpatutan.

Kadangkala terdapat laporan bahawa projek-projek kerajaan yang besar “ditimpa” masalah kewangan iaitu kos sebenar mungkin akan menjadi dua atau tiga kali ganda kos asal. Contohnya seperti projek Istana Negara di mana kos sehingga kini telah melebihi 100% kos anggaran iaitu dari RM400 juta kini telah menjadi RM800 juta! Perkara ini akan dapat dielakkan sekiranya mereka yang menyediakan kos anggaran yang lebih tepat oleh mereka yang benar-benar mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang masing-masing.

Penduduk di Malaysia seringkali teriya-iya dengan cogankata “Malaysia Boleh” dan kerajaan Malaysia juga sentiasa membuat keputusan untuk membina bangunan yang tertinggi, struktur yang terbesar dan lain-lain. Kebanyakan projek-projek ini tidak akan membawa manfaat kepada rakyat jelata. Oleh sebab itu, kerajaan haruslah fokus atas projek-projek yang akan memenuhi keperluan rakyat jelata dan juga memberi atau mengekalkan subsidi yang diperlukan.

Salah satu cadangan untuk membuat Malaysia berdikari dari segi ekonomi adalah untuk memberi perhatian ke atas pembangunan sektor pertanian dan agrikultur. Malaysia telah dikurniakan dengan cuaca, tanah dan alam semulajadi yang baik untuk tujuan ini dan kerajaan haruslah menitikberatkan sektor ini.

Saya memang setuju bahawa subsidi patut dikurangkan dan berharap kerajaan akan membuat kajian supaya tindakan ini tidak membawa impak negatif yang besar dan membebankan rakyat yang berpendapatan rendah.

Untuk mengemudikan sesebuah negara yang berjaya, pemimpin-pemimpin yang dipilih haruslah kompeten, berpendidikan dan mempunyai kepakaran yang sewajarnya semasa memegang portfolio masing-masing. Dengan ini, barulah Malaysia akan membangun dengan pesat dan mencapai kemakmuran dan TIDAK akan menjadi sebuah Negara yang mungkin muflis dalam tahun 2019!

Rencana ini telah diterbit dan diedarkan melalui BULETIN GERAKAN4U JULAI 2010/BIL.3

by Sdra Ng Fook On
Penyelaras Parlimen Jelutong

Post Comment

Commenting is not available in this section entry.