Parti Gerakan logo

RENCANA: 4 Sebab Kenapa Pilihanraya Kerajaan Tempatan Tak Akan Jadi Kenyataan

13 May 2010, 10:10 AM
Posted in Bulletin

Baru-baru ini satu topik hangat yang sedang menarik perhatian orang ramai di kedai-kedai kopi dan warung-warung ialah cadangan Kerajaan PR untuk mengembalikan Pilihanraya Kerajaan Tempatan. Sebenarnya, cadangan ini bukan sesuatu yang menghairankan kita, oleh kerana cadangan ini memanglah salah satu daripada apa yang dijanjikan di manifesto Parti DAP semasa Pilihanraya pada tahun 2008. Yang menjadi tanda-tanya dan fokus perbincangan kita ialah mengapa cadangan ini dibuat hanya sekarang, iaitu 2 tahun selepas Pilihanraya.

Pada pendapat saya, segala ini merupakan sandiwara yang dimainkan oleh Kerajaan PR. Saya memang meragui niat mereka dan saya pasti bahawa cadangan ini tidak akan menjadi satu kenyataan. Pendek kata, ini adalah hanya satu taktik untuk “membeli masa”. Ada 4 sebab kenapa saya berkata begini.

Yang pertama, jika Kerajaan PR betul-betul ikhlas, isu ini sepatutnya diberikan keutamaan dan dicadangkan sebaik sahaja Kerajaan PR ditubuhkan. Bukan 2 tahun selepasnya.

Sebab yang kedua ialah apabila Ketua Menteri Pulau Pinang mengumumkan bahawa beliau telah menulis kepada Suruhanjaya Pilihanraya dan akan membentuk satu jawatankuasa khas untuk mengkaji cadangan ini. Sepatutnya, apabila Parti DAP menawarkan manifesto mereka, sudah tentunya segala ini telahpun diberikan perhatian oleh pakar-pakar perundangan mereka. Sekiranya tidak, manifesto itu adalah semata-mata untuk mengkaburi mata pengundi-pengundi. Pengumuman Ketua Menteri juga tidak menyatakan sebarang jadual waktu dan masa yang diperlukan untuk kajian. Namun, saya jangka bahawa kajian ini akan mengambil masa 2-3 tahun, supaya apabila tibanya Pilihanraya yang akan datang nanti, Kerajaan PR akan sekali lagi menggunakan isu yang sama ini dalam manifesto mereka.

Ketiga, keikhlasan mereka memang dipertikaikan. Dalam 2 tahun kebelakangan ini, Kerajaan PR mempunyai banyak peluang keemasan untuk menonjolkan keikhlasan mereka. Adalah dikatakan sebab utama mereka mengemukakan cadangan ini adalah untuk tujuan ketelusan dan penglibatan rakyat. Namun, apabila mereka mempunyai kuasa untuk melantik Ahli-Ahli Majlis, mereka hanya mampu melantik 4 daripada 48 Ahli-Ahli Majlis daripada kalangan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) sementara 44 yang bakinya datang daripada ahli-ahli Parti mereka masing-masing! Adakah ini menunjukkan sebarang keikhlasan atau sandiwara sahaja?

Keempat, sebenarna Kerajaan PR takut untuk mengadakan Pilihanraya Kerajaan Tempatan oleh kerana rakyat hari ini telah sedar akan betapa lemahnya tahap pentadbiran dan pengurusan pemimpin-pemimpin mereka. Adakah pembayar cukai akan memberikan peluang kepada mereka sekiranya ada Pilihanraya Ahli-Ahli Majlis nanti, untuk mewakili kepentingan mereka? Cuba fikir apa yang sebenarnya berlaku di dalam Majlis-Majlis Perbandaran kita di bawah Kerajaan PR dalam 2 tahun kebelakangan ini? Adakah perkhidmatan telah bertambah baik ataupun sebaliknya?

Jadi, segala ini adalah hanya semata-mata satu lagi gimik politik untuk mengkaburi mata rakyat Pulau Pinang. Jikalau anda tidak percaya, cabarlah Kerajaan PR untuk menjadikan ini sebagai satu kenyataan dalam tempoh masa 1 tahun daripada sekarang. Saya pasti jawapan mereka akan dengan tersendirinya, menjawap soalan saya. Sebuah kerajaan yang tidak serius, yang selalu bersandiwara tanpa membuat apa-apa kerja yang sepatutnya dibuat, bukan satu kerajaan yang bertanggungjawab. Malangnya, masa depan rakyat Pulau Pinang kini adalah di tangan mereka dalam 4-5 tahun ini.

Rencana ini telah diterbit dan diedarkan melalui BULETIN GERAKAN4U APR 2010/BIL.2

by Sdr. Wong Mun Hoe
Penyelaras DUN Pantai Jerejak

Post Comment

Commenting is not available in this section entry.