Pakatan Rakyat Penumpang Pembangunan Barisan Nasional
19 May 2010, 12:00 PM
Posted in Bulletin, Topic

Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) masih gagal membawa pembangunan yang berkekalan dan menaikkan taraf kehidupan masyarakat negeri Pulau Pinang selepas dua tahun berkuasa.
Setiausaha Agung Parti Gerakan Teng Chang Yeow berkata negeri Pulau Pinang masih ketinggalan di belakang sekiranya diambil kira dari segi pembangunan dan kemajuan.
“Negeri ini seharusnya terus maju dan pesat dengan pembangunan walaupun di bawah pentadbiran mana-mana parti sekali,” katanya ketika debat politik baru-baru ini dengan Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong.
Beliau berkata kemakmuran dan pembangunan yang ada di Pulau Pinang sekarang adalah hasil usaha kerajaan pusat yang telah berbelanja berbilion ringgit untuk membangunkan infrastruktur.
“Ketika Barisan Nasional mentadbir negeri Pulau Pinang, kami juga menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran tetapi kami berjaya dalam membawa kemajuan dan pembangunan,” katanya.
Teng berkata kerajaan dulu amat peka dan serius dalam memperjuangkan isu-isu alam sekitar.
“Dengan itu, kami berjaya menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri yang pertama di semenanjung Malaysia yang mempunyai dua taman belia termasuk sebuah Taman Negara,” katanya.
Berhubungan dengan isu Pulau Jerejak untuk digazetkan sebagai Hutan Simpan bagi menyekat pembangunan, Teng berkata beliau difahamkan bahawa terdapat sebuah konsortium yang telah menunjukkan minat untuk membangunkan Pulau tersebut.
“Adakah minat yang ditunjukkan oleh konsortium tersebut telah mengakibatkan penangguhan pengazetan Pulau Jerejak? Kerajaan PR seharusnya memberikan satu penjelasan berhubung dengan isu tersebut,” katanya.
Selain itu, Teng juga berkata beliau telah berkali-kali mencari bajet Pulau Pinang bagi 2009 dan 2010 tetapi dana khas yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri untuk Sekolah Kebangsaan Cina ataupun Sekolah Persendirian Cina tidak dijumpai.
“Jadi saya menganggap peruntukan untuk sekolah-sekolah itu bukanlah satu perkara yang baru dan itu adalah hanya kelanjutan apa yang diamalkan oleh kerajaan BN dulu untuk sekolah-sekolah,” katanya.
Sementara itu, Penganalisa Politik Encik Wong Chin Huat turut membidas kerajaan PR yang menurut beliau pentadbiran di bawah PR pandai bersandiwara berbanding dengan kerajaan BN di bawah Gerakan.
Artikel ini telah diterbit dan diedarkan melalui BULETIN GERAKAN4U APR 2010/BIL.2
by Meja Pengarang
Buletin Gerakan4u
- Previous Ibrahim Ali “Shut Up”
- Next Kerajaan Negeri Gagal Mengambil Iktibar Selepas Tragedi Perahu Naga

0 comment, be the first to comment