Mengetepikan Perbezaan Politik Demi Kebahagiaan Rakyat
5 Oct 2010, 4:15 PM
Posted in Bulletin
Kita telah menyambut hari ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-53 dalam suasana yang aman dan harmoni. Sebagai seorang anak jati Malaysia, kita seharusnya berasa bangga dengan kemajuan dari segi pembangunan yang berjaya dicapai negara sejak kemerdekaan dari tangan British pada tahun 1957.
Namun, kita masih tidak dapat mengelakkan diri dari ekstremisme perkauman dan pertengkaran politik dari kumpulan-kumpulan tertentu. Mereka ini sengaja menimbulkan isu perkauman ini semata-mata untuk agenda sendiri tanpa memikirkan perasaan rakyat negara yang berbilang kaum dan bangsa.
Oleh yang demikian, isu diskriminasi perkauman harus ditangani secepat mungkin supaya negara dapat maju dari segi pembangunan dan ekonomi serta kekal stabil bagi mencapai wawasan negara. Kita harus memahami bahawa ekonomi negara dan pembangunan juga ditentukan oleh kestabilan politik dan penurunan ekonomi global tidak boleh disalahkan pada setiap masa.
Tsunami politik pada 308 lalu telah mengubah suasana politik negara dan ramai yang menjangka akan menjadi sistem dua parti. Tetapi, pertengkaran politik yang berterusan dua tahun selepas Pilihanraya Umum lalu telah jelas menunjukkan bahawa masih terdapat ahli-ahli atau parti-parti politik yang mengganggu kestabilan politik dan membantut pembangunan negara. Sebaliknya, negara telah dijadikan pentas untuk ahli-ahli politik menunjukkan bakat-bakat mereka dalam bidang lakonan untuk menjadi popular dan mereka ini dianggap tidak bertanggungjawab kepada mandat yang diberi oleh rakyat.
Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan pelbagai agama dan budaya. Justeru itu, setiap individu tidak kira bangsa atau agama, tidak harus berfikiran sempit. Kami juga ingin mendesak kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri supaya mengetepikan perbezaan politik mereka untuk lebih fokus kepada kehendak rakyat demi kesejahteraan semua.
Dasar 1Malaysia adalah satu dasar yang konsisten dengan keperluan rakyat, kerajaan negeri sepatutnya lebih tumpukan perhatian untuk membawa pembangunan kepada negara dan tidak memainkan isu politik terutamanya dalam isu-isu kecil.
Selain daripada mengutamakan pembangunan dan kestabilan ekonomi negara, kerajaan persekutuan juga harus menumpukan kepada pembangunan Pulau Pinang demi manfaat dan kebahagiaan rakyat.
Artikel ini telah diterbit dan diedarkan melalui BULETIN GERAKAN4U SEPTEMBER 2010/BIL.4
by Meja Pengarang
Buletin Gerakan4u

0 comment, be the first to comment