Membendung penularan fahaman perkauman yang ektrem
4 Oct 2010, 10:12 AM
Posted in News
Petikan Utama Ucapan Pengerusi J/K Perhubungan Negeri, Sdra Dr Teng Hock Nan
Persidangan Perwakilan Negeri Parti Gerakan Rakyat Malaysia
26-09-2010
Tsunami politik 308 telah memperbaharui suasana politik di Malaysia. Walaubagaimanapun, sistem dua parti yang dilaung-laungkan nampaknya tidak dapat dipraktiskan dengan baik. Sepanjang dua tahun kebelakangan ini, perbalahan dan pertelingkahan politik sering berlaku. Isu-isu yang penting sering dipolitikan. Ahli-ahli politik yang kini telah membentuk kerajaan negeri sering bersandiwara demi publisiti, bersifat populist dan mengabaikan usaha-usaha pembangunan sosial yang komprehensif demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat jelita. Jelas kelihatan, mereka ini tidak berkemampuan dan kurang keikhlasan untuk membawa kestabilan politik dan pembangunan ekonomi yang lebih pesat setelah diberi mandat.
Seperti mana yang diketahui umum, terdapat negara-negara tertentu di dunia ini yang dihantui sentimen perkauman yang ektrem sehingga negara tersebut diselubungi dengan perasan benci dan hina sehingga kehidupan harian rakyat jelata terjejas dan menderita. Kita seharusnya belajar dari sejarah negara-negara yang lain dan mengambil tindakan yang keras ke atas mereka yang sengaja mempermainkan isu-isu perkauman demi kepentingan diri-sendiri. Kita seharusnya berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencegah segelintir kecil orang yang mengapi-apikan sentiment perkauman dan agama. Tindakan perundangan dan displin yang dikenakan ke atas mereka yang terlibat tidak harus bersifat ‘double standard’ atau membawa persepsi ‘double standard’. Sebagai Anak Malaysia, kita seharusnya mempromosikan semangat muhibah dan perpaduan yang lebih erat antara kaum.
Baru-baru ini, kami kesal dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir yang sering bertindak menyokong Perkasa. Ini telah membayangkan pendapat beliau yang agak ketinggalan zaman. Manakala, pemimpin-peminpin lain seperti Ketua Pemuda UMNO YB Khairy Jamaluddin dan YB Datuk Seri Nazri Aziz, sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang begitu tegas sekali menolak Perkasa dan tindakan yang bersifat perkauman adalah sesuatu yang harus kita puji, sokong dan contohi.
Ingin saya tegaskan di sini, Parti Gerakan tidak akan bertolak ansur dan berasa takut apabila berhadapan dengan pelampau-pelampau agama dan perkauman. Kami akan berdiri teguh dan membidas serta menentang sesiapa sahaja yang menggunakan apa-apa pendekatan untuk memainkan isu-isu agama dan perkauman yang ektrem. Parti Gerakan menyeru kepada kerajaan persekutuan yang di bawah kepimpinan Perdana Menteri YAB Datuk Seri Najib Tun Razak agar mengamalkan konsep 1Malaysia dan mempergiatkan dialog dan interaksi antara kaum dan melihat isu-isu yang berlaku dengan lebih waras dan sabar.
0 comment, be the first to comment