Memahami Keperluan Rakyat Kunci Kejayaan Polis
22 Aug 2010, 10:00 AM
Posted in Bulletin, Topic
Menurut Datuk Ayub Yaakob, apa yang dikecapi oleh pasukan polis negeri tidak semestinya apa yang dikehendaki oleh rakyat. “Sebenar kita harus mencerminkan diri di mata rakyat untuk mengetahui sejauh manakah prestasi pasukan polis berada di pandangan rakyat,” kata beliau.

Memahami keperluan dan keinginan masyarakat adalah kunci kejayaan polis dalam menurunkan kadar indeks jenayah di negeri ini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Wira Ayub Yaakob yang mula berkhidmat di negeri ini selepas Pilihanraya Umum 2008, berkata polis negeri telah bermula dengan pelbagai inisiatif bagi memenangi hati rakyat.
“Antara langkah yang ambil adalah mengadakan kelas Hokkien kepada ahli pasukan bagi membawa polis lebih memahami masyarakat setempat.”
“Ini tidak bermakna masyarakat Cina di Pulau Pinang tidak memahami Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris tetapi langkah itu akan membolehkan pihak polis lebih mendekati dan dipercayai oleh penduduk,” katanya ketika ditemu ramah baru-baru ini.
Menurut beliau, keupayaan polis dalam menguasai dialek Hokkien merupakan satu nilai tambahan dan akan diterima dengan baik oleh masyarakat tempatan khususnya masyarakat Cina.
“Sekiranya orang tempatan dapat memberikan percayaan mereka kepada polis, secara automatik mereka akan bekerjasama dengan polis bagi membanteras jenayah,” kata beliau.
Datuk Ayub Yaakob berkata apa yang penting untuk pasukan polis dalam menyelesaikan sebarang kes jenayah adalah maklumat.
“Pihak polis akan mendapat maklumat yang lebih, sekiranya mereka dapat bertutur dan memahami penduduk tempatan dengan baik,” kata beliau.

Datuk Ayub Yaakob berkata ‘Ops Payung’ yang dilancarkan juga mempunyai impak dalam menyelesaikan kes-kes jenayah dan membantu dalam menurunkan indeks jenayah.
“Kami mahukan orang awam untuk berasa selamat dengan kehadiran polis di kawasan mereka dan berharap penduduk setempat ini dapat berkomunikasi dengan polis,” kata beliau.
Beliau berkata antara arahan terbaru yang beliau sampaikan kepada anggota pasukannya adalah sekiranya berlaku satu kes pecah rumah, anggota polis yang bertugas di kawasan tersebut seharusnya bertindak untuk mengambil laporan dari mangsa di tempat kejadian.
“Polis tidak seharusnya menunggu mangsa untuk membuat laporan di balai. Kita mesti berusaha untuk mendapatkan laporan daripada mangsa dan ini adalah tugas pegawai penyiasat yang bertugas di kawasan tersebut,” kata beliau.
Selain itu, Datuk Ayub Yaakob berkata antara tangggungjawab beliau sebagai Ketua Polis Negeri adalah menguruskan urusan pentadbiran khususnya sumber tenaga kerja yang terhad.
“Dalam hal ini, saya terpaksa memainkan peranan sebagai seorang pengurus untuk memastikan sumber tenaga kerja yang ada dapat menghasilkan keputusan yang baik,” kata beliau.
Tambahnya, konsep ‘community policing’ atau kepolisan komuniti banyak membantu pasukan polis dalam menghadapi kekurangan sumber tenaga kerja.
Beliau menerangkan bahawa kepolisan komuniti merupa satu konsep bagi menerapkan orang awam seperti pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan Korps Sukarelawan dalam bekerjasama dengan polis dalam hal-hal berkaitan dengan keselamatan.
“Langkah ini akan membantu polis mengurangkan jumlah tenaga kerja kerana mereka akan mengawasi persekitaran mereka manakala polis akan membantu dalam memantau situasi.”
“Pendekatan ini secara tidak langsung telah meringankan beban polis dan ianya merupakan hasil daripada komunikasi dua hala yang membawa kepercayaan kepada masyarakat,” kata beliau.
Menurut Datuk Ayub Yaakob, apa yang dikecapi oleh pasukan polis negeri tidak semestinya apa yang dikehendaki oleh rakyat.
“Sebenar kita harus mencerminkan diri di mata rakyat untuk mengetahui sejauh manakah prestasi pasukan polis berada di pandangan rakyat,” kata beliau.
Beliau berkata setiap anggota polis harus mengurangkan kesilapan yang dilakukan ketika sedang bertugas dan berusaha untuk meningkatkan prestasi diri.
“Kita harus memegang kukuh kepada integriti, perlembagaan, budaya dan undang-undang untuk memastikan setiap keputusan yang dibuat dapat diterima orang awam,” kata beliau.
Sambil menceritakan tentang kariernya, Datuk Ayub Yaakob berkata beliau bermula di Pulau Pinang sebagai seorang Inspektor percubaan pada lebih kurang 30 tahun yang lalu.
“Selepas tamat kursus asas latihan bagi Inspektor polis di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), saya bermula berkhidmat untuk Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Pulau Pinang dengan berpangkatan Inspektor percubaan.”
“Sebelum saya kembali ke Pulau Pinang sebagai Ketua Polis, saya pernah berkhidmat di Negeri Sembilan, Melaka dan Terengganu,” kata beliau.
Datuk Ayub Yaakob berkata setiap polis harus melaksanakan tugas mereka secara bijaksana dan cekap selain daripada memiliki kemampuan yang membolehkan mereka untuk berkomunikasi dengan semua lapisan masyarakat.
“Kerjasama antara polis dan masyarakat adalah salah satu faktor yang dapat menurunkan indeks jenayah di negara dan usaha ini harus dikekalkan,” kata beliau.
Beliau berkata antara cabaran yang paling sukar pernah beliau alami ialah ketika Pilihanraya Umum 2008 di Terengganu, yang kebetulan beliau juga bertugas di situ.
“Selepas hari penamaan calon, penyokong-penyokong kedua-dua parti telah mula berkempen dan tugas polis adalah untuk mengawal keselamatan orang awam.”
“Keadaan huru-hara berlaku ketika itu, dengan sebahagian penyokong dikatakan tidak puas hati dengan calon yang diturunkan dan masalah yang dihadapi polis adalah penyokong-penyokong parti politik ini terlalu ramai,” ujarnya.
Datuk Ayub Yaakob berkata polis terpaksa menggunakan pelbagai cara untuk mengawal keadaan dan menyuraikan penyokong-penyokong kedua-dua pihak.
Tambah beliau, peranan polis adalah untuk mengawal penyokong-penyokong kedua-dua pihak supaya tidak menjadi satu rusuhan yang akan menjejaskan ketenteraman awam.
“Ketika menjalankan tugas, anggota polis harus teguh dengan pendirian supaya tidak memberikan satu gambaran yang PDRM ini berkhidmat untuk mana-mana pihak,” kata beliau.
Sementara itu, Datuk Ayub Yaakob juga mengesah ahli-ahli politik sekarang supaya tidak menjadikan polis sekarang sebagai sasaran mereka untuk mengaut kepentingan politik masing-masing.
“Sebagai seorang warga PDRM, kami hanya ambil tindakan terhadap sesiapa yang melanggar undang-undang tidak kira sama seseorang itu dari parti politik mana,” kata beliau.
Katanya, tindakan selalu menyalahkan kerajaan lama tidak akan membantu dalam hal untuk memenangi hati rakyat tetapi sebaliknya usaha untuk meningkatkan mutu pentadbiran akan disanjungi oleh rakyat.

“Saya tidak berharap scenario seperti parti pembangkang di negeri ini bertindak seperti mereka masih berkuasa dalam kerajaan, sebaliknya kerajaan negeri ini bertindak umpama mereka masih parti pembangkang dengan bercakap tanpa batasan,” kata beliau (sambil senyum).
“Semua pihak harus menerima hakikat bahawa kerajaan Barisan Nasional telah kalah di negeri ini dan penyokongnya harus berubah polisi bagi memenangi hati rakyat pada Pilihanraya Umum akan datang,” katanya.
Mengulas lanjut, Datuk Ayub Yaakob berkata konsep transformasi amat sesuai dilakukan untuk parti-parti politik di negeri ini.
“Semua pihak hendak belajar daripada kesilapan dan menjalankan transformasi untuk diri sendiri supaya kita tidak mengulangi kesilapan lalu,” kata beliau.
Artikel ini telah diterbit dan diedarkan melalui BULETIN GERAKAN4U JULAI 2010/BIL.3
by Meja Pengarang
Buletin Gerakan4u
- Previous 1Malaysia concept is the way forward, Gerakan
- Next Let's be constructive and not destructive, Malay rights groups told

0 comment, be the first to comment