Parti Gerakan logo

Koperasi Untuk Semua Wanita

5 Oct 2010, 3:30 PM
Posted in Bulletin

Koperasi Untuk Semua Wanita

Gerakan Wanita Pulau Pinang telah memohon untuk menubuhkan koperasi dan telah diluluskan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Pulau Pinang pada 13hb Julai 2010. Mesyuarat Agung Permulaan akan diadakan pada 2hb Oktober 2010 untuk meluluskan Undang-Undang Kecil Koperasi Usahawan Gerakan Wanita Pulau Pinang Berhad (檳城婦女企業推動合作社).

Tujuan penubuhan koperasi ini adalah untuk menggalakkan wanita menolong diri sendiri dan bekerjasama untuk meningkatkan pendapatan mereka serta mewujudkan peluang pekerjaan. Ini adalah selaras dengan Model Ekonomi Baru yang berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi. Diharapkan melalui koperasi ini sedikit sebanyak dapat membantu kerajaan persekutuan untuk merealisasikan agenda pembangunan negara.

Keanggotaan koperasi ini adalah terbuka kepada semua wanita. Kelayakannya termasuk mesti berkewarganegaraan Malaysia dan telah mencapai umur lapan belas tahun. Yuran masuk dan nilai syer akan ditetapkan dalam Mesyuarat Agung Permulaan.

Antara aktiviti-aktiviti yang akan diadakan ialah:

  1. Aktiviti pengguna termasuk kedai runcit dan pemborongan;
  2. Aktiviti perkhidmatan termasuk pemasaran dan pendidikan;
  3. Aktiviti perindustrian termasuk pembuatan dan industri kampung dan lain-lain lagi.

Matlamat koperasi ini adalah untuk melatih dan memberi peluang pekerjaan kepada suri rumahtangga dan ibu tunggal untuk peningkatan diri dan taraf sosio-ekonomi mereka. Apabila keperluan harian seseorang dapat dipenuhi, maka barulah seseorang itu mampu menyumbangkan tenaganya kepada perkhidmatan kebajikan, masyarakat, sosial, politik dan sebagainya. Secara tidak langsung, tindakan ini akan menarik balik minat wanita terhadap Gerakan dan menyatukan ahli-ahli kita.

Kami berharap semua wanita, tidak kira sama ada ahli Gerakan atau bukan, akan menyertai kami dan bersama-sama kita menjayakan koperasi ini demi masa depan kita.

Artikel ini telah diterbit dan diedarkan melalui BULETIN GERAKAN4U SEPTEMBER 2010/BIL.4

by Gerakan Wanita Pulau Pinang

Post Comment

Commenting is not available in this section entry.