Kerajaan Negeri Gagal Mengambil Iktibar Selepas Tragedi Perahu Naga
19 May 2010, 2:00 PM
Posted in Bulletin, Topic

Kerajaan negeri gagal mengambil iktibar susulan tragedi perahu naga yang telah berlaku beberapa bulan yang lalu termasuk tragedi di perairan berdekatan Lebuh Macallum yang menyebabkan lima pelajar dan seorang guru mati lemas.
Sebelum kejadian yang meragut enam nyawa di perairan Lebuh Macallum, satu pelanggaran telah berlaku antara peserta dalam Pertandingan Pesta Perahu Naga pada bulan Disember tahun lepas.
Kemalangan itu telah mengakibatkan seorang pendayung tidak sedar diri dan ramai yang cedera tetapi kerajaan negeri tidak mengambil sebarang tindakan untuk mengetatkan syarat-syarat keselamatan.
Akan tetapi ketika diminta mengulas berhubung kejadian tahun lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Danny Law Heng Kiang berpendapat kemalangan di perairan tersebut adalah satu perkara biasa dandianggap sebagai kemalangan kecil.
Berikutan kejadian kemalangan itu, pada Januari tahun ini, sepasukan perahu naga Sekolah Menengah Chung Ling telah dipukul ombak sebelum berlanggar dengan sebuah tongkang dan terbalik ketika mengadakan sesi latihan berdekatan perairan Lebuh Macallum. Ini mengakibatkan lima pelajar dan seorang guru penasihat mati lemas.
Pada masa itu, Danny Law telah melepaskan tanggungjawabnya kepada pihak sekolah dengan mengatakan pihak sekolah tidak memilih satu lokasi yang sesuai untuk membuat latihan perahu naga.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pula berkata pihak sekolah yang seharusnya memberi satu penjelasan kepada keluarga mangsa kejadian dan bukannya kerajaan negeri.
Ulasan Lim dan Law telah mengundang kepada ketidakpuasan oleh pelbagai pihak yang menganggap kerajaan negeri enggan mengambil tanggungjawab terhadap apa yang berlaku.
Perasaan keluarga mangsa tragedi itu bagaikan ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ kerana telah kehilangan orang tersayang tetapi pihak yang seharusnya bertanggungjawab ‘lepas tangan’.
Selain itu, Lim juga berkata pihak kerajaan negeri bersedia berkerjasama sekiranya kerajaan pusat dapat mewujudkan satu suruhanjaya siasatan bagi menyiasat punca kejadian tragedi perahu naga tersebut.
Hal ini jelas menunjukkan bahawa pihak kerajaan negeri tidak mengambil iktibar peristiwa yang telah berlaku sebelum ini yang membawa kepada tragedi parahu naga pada awal tahun ini.
Lim dan Law juga telah berdalih dari tanggungjawab mereka sebagai kerajaan negeri dan penganjur perlumbaan perahu naga untuk memastikan kejadian ini tidak berulang.
Sebagai kerajaan yang mendakwa dirinya berjiwa rakyat, kerajaan negeri sepatutnya mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dan mengambil langkah penyelesaian dengan cepat.
Kerajaan negeri seharusnya mengenakan beberapa syarat keselamatan yang lebih ketat sebelum memberi kelulusan kepada mana-mana kelab yang menyertai perlumbaan perahu naga.
Syarat-syarat keselamatan antara lain harus merangkumi pengambilan jurulatih-jurulatih yang berpengalaman, pemilihan lokasi, kelengkapan latihan dan latihan berenang.
Akan tetapi, walaupun tiga bulan telah berlalu selepas tragedi perahu naga tersebut, tidak ada apa-apa langkah yang telah diambil oleh kerajaan negeri untuk mengelakkan kemalangan tersebut daripada berulang.
Sejarah perahu naga di Pulau Pinang bermula seawal tahun 1970an dan perlumbaan antarabangsa pertama telah dianjurkan pada tahun 1979. Semasa Kerajaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negeri, perlumbaan perahu naga telah mendapat sambutan baik dan berjaya menarik ramai pelancong yang menyumbang kepada sektor perlancongan negeri.
Artikel ini telah diterbit dan diedarkan melalui BULETIN GERAKAN4U APR 2010/BIL.2
by Meja Pengarang
Buletin Gerakan4u
- Previous Pakatan Rakyat Penumpang Pembangunan Barisan Nasional
- Next Kekecohan Di Bawah Kerajaan Pakatan Rakyat

0 comment, be the first to comment