Parti Gerakan logo

Kerajaan DAP digesa dedahkan surat perjanjian projek negeri

19 Nov 2010, 11:00 PM
Posted in News

Kerajaan DAP digesa dedahkan surat perjanjian projek negeri

Kerajaan pimpinan DAP Pulau Pinang didesak untuk mendedahkan tiga surat perjanjian sebelum bertindak untuk membentangkan Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat 2010.

Penyelaras Gerakan untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tikus, Mark Ooi berkata Ketua Menteri Lim Guan Eng seharusnya mendedahkan kepada rakyat tentang tiga surat perjanjian kerana ketiga-tiga perjanjian tersebut akan membawa implikasi yang penting kepada rakyat Pulau Pinang.

Menurutnya, antara perjanjian yang perlukan penjelasan adalah perjanjian bernilai RM29 juta diantara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dengan sebuah syarikat yang berpangkalan di Kuala Lumpur iaitu Taiyo Resort, anak syarikat kepada Taiyo Resort Development (Malaysia) Sdn Bhd mengenai kontrak pengurusan Kelab Golf Bukit Jambul (BJCC) selama 20 tahun.

“Selain itu, kerajaan negeri juga mesti mendedahkan kontrak perjanjian yang ditandatangani antara Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan sebuah syarikat Sim Leisure Consultants Sdn Bhd tentang sebuah taman tema air di Teluk Bahang yang bernilai RM40 juta selama 60 tahun.

“Perjanjian terakhir yang harus didedahkan adalah mengenai kontrak perkhidmatan internet wayarles (WiFi) percuma kepada rakyat Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar pada 11 Nov (Khamis).

Beliau berkata sebelum apa-apa rang undang-undang tentangan kebebasasn maklumat dibentangkan, kerajaan negeri seharusnya bersikap lebih terbuka dengan mendedahkan kontrak perjanjian ketiga-tiga projek tersebut untuk pengetahuan umum.

“Kerajaan negeri harus mendedahkan ketiga-tiga perjanjian kontrak tersebut kerana ketiga-tiga kontrak itu mempunyai kepentingan orang awam,” katanya.

Dalam mengulas lanjut, Ooi berkata beberapa perkara yang dibentangkan di Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat 2010 juga termasuk beberapa bahagian yang jelaskan bercanggah dengan semangat kebebasan maklumat.

“Kami amat menyokong kepada Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat itu tetapi semangat kebebasan maklumat umum itu mesti dipandang serius,” katanya.

Katanya Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat Pulau Pinang ini tidak sehala dengan apa yang dijanjikan oleh Kerajaan dibawah Pakatan Rakyat (PR) dan terdapat tujuh perkara jelas bercanggah dengan semangat kebebasan maklumat.

“Antaranya, apa yang dinyatakan dalam Fasal 2 enakmen tersebut, yang mengatakan bahawa Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) diambil guna dan dijadikan sebahagian dari Enakmen ini.”

“Perkara tersebut telah bercanggah dengan apa yang dijanjikan oleh kerajaan PR sebelum ini, iaitu menentang OSA seperti menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),” katanya.

Selain itu, Ooi berkata Fasal 7 menyatakan bahawa maklum balas akan diberi dalam tempoh tiga puluh (30) hari dan lebih cepat (7 hari) jika berkaitan dengan nyawa atau kebebasan individu. Akan tetapi, Fasal 7 (3) menyatakan “sekira tiada maklum balas dalam masa yang ditetapkan ia dianggap telah ditolak.”

“Dalam Fasal 9 juga menyatakan seseorang boleh merayu kepada Lembaga Rayuan dalam tempoh 21 hari selepas menerima notis. Adakah ini bermakna jikalau seseorang pemohon tidak menerima jawapan di bawah Fasal 7 (3), beliau tidak boleh merayu?,” ujarnya.

Tambahnya, percanggahan semangat kebebasan juga boleh dikaitkan dengan Fasal 10 (2) yang menyatakan bahawa permohonan boleh ditolak jikalau permohonan tersebut dibuat akan mengganggu operasi jabatan.

“Dalam Fasal 12 juga menyatakan permohonan akan ditolak jika ia “menyusahkan”. Oleh itu, jika “susah” tidak perlu beri maklumat yang dipohon,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata dalam Fasal 14 (13) menyatakan Keputusan Lembaga Rayuan adalah muktamad, telah mematahkan semangat kebebasan maklumat.

“Akhir sekali adalah Fasal 15 (1) & (2) yang menyatakan sekiranya penggunaan maklumat adalah bertentangan dengan alasan dan maksud maklumat itu dipohon, mana-mana orang yang melanggar peruntukan ini melakukan suatu kesalahan dan hendaklah, apabila disabit, didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya,” katanya.

by Meja Pengarang
gerakan4u.com

Post Comment

Commenting is not available in this section entry.