Parti Gerakan logo

Karier Dalam Politik Bukan Sesuatu Yang Mudah Bagi Kaum Wanita

16 May 2010, 10:50 AM
Posted in Bulletin, Topic

Karier Dalam Politik Bukan Sesuatu Yang Mudah Bagi Kaum Wanita

Karier sebagai ahli politik bukanlah sesuatu yang mudah khususnya bagi seseorang wanita yang telah berumah tangga, kata Timbalan Ketua Wanita Parti Gerakan Ng Siew Lai.

Ng yang berumur 49 telah berumah tangga dan mempunyai tiga orang cahaya mata berkata ayahnya memainkan peranan yang besar untuk mempengaruhi beliau dalam menceburi arena politik.

“Ayah saya merupakan seorang ahli Parti Gerakan yang aktif pada awal 1970an dan telah bekerjasama dengan wakil-wakil parti dalam membawa pembangunan di kawasan Permatang Pauh,” katanya ketika ditemu ramah bersempena dengan Hari Wanita Sedunia baru-baru ini.

Ng yang amat menyanjungi mantan Ketua Menteri Pulau Pinang Tun Dr Lim Chong Eu, telah menceburi arena politik seawal 1980an dan telah banyak mengorbankan masa untuk berkhidmat demi rakyat dan menjaga hak-hak wanita.

“Saya percaya untuk memilik pemahaman yang lebih baik dalam isu rakyat, seseorang ahli politik itu tidak kira mana-mana parti harus bermula dari peringkat akar umbi,” katanya.

Ng juga berkata “Tsunami” dua tahun lalu antaranya telah membawa dua mesej iaitu hak-hak dan kepentingan wanita harus dipertahankan dan lanskap politik negara harus dibentuk.

Sementara itu, Hartini Tan Abdullah yang menyertai politik pada tahun 1996 berpendapat kaum wanita harus diberi masa dan ruang untuk mengejar impian masing-masing.

“Sebagai wanita moden, seseorang itu harus peka terhadap apa yang berlaku di sekeliling. Mereka harus ingat bahawa penurunan dan peningkatan kadar komoditi keperluan asas, kesemuanya adalah berkait rapat dengan kejadian-kejadian politik,” katanya.

Hartini, 48, yang kini merupakan Penyelaras DUN Bukit Tambun, telah berumah tangga dan dikurniakan tiga cahaya mata.

Selain daripada itu, Penyelaras DUN Batu Lanchang Michelle Yeoh Hui Hoon, 28, berkata hasrat beliau dalam menyertai politik adalah untuk meningkatkan kesedaran di kalangan wanita tentang kepentingan hak bersuara dan hak-hak dasar mereka sebagai pengundi.

“Saya berpendapat bahawa kesedaran politik di kalangan wanita masih kurang dan sebagai seorang ahli politik yang bertanggungjawab, saya akan tumpukan perhatian kepada tiga aspek iaitu hak-hak wanita, kesejahteraan dan hak bersuara rakyat,” katanya.

Artikel ini telah diterbit dan diedarkan melalui BULETIN GERAKAN4U APR 2010/BIL.2

by Meja Pengarang
Buletin Gerakan4u

Post Comment

Commenting is not available in this section entry.