SUARA: Dadah Dan Agama
16 May 2010, 10:45 AM
Posted in Bulletin
Dadah
Menurut Kamus Dewan Melayu – Inggeris, makna perkataan ‘Drug’ bermaksud ubat-ubatan. Takrif penyalahgunaan kepada ‘drug’, perkataan ‘use’, ‘misuse’ atau ‘abuse’ perlu digunakan bersama-sama dengan perkataan ‘drug’. Contohnya ‘drug abuse’ atau ‘misuse of drug’ yang membawa maksud penyalahgunaan dadah.
Dadah merupakan satu istilah khas yang merujuk kepada sejenis bahan yang mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan seseorang dari segi fizikal, mental dan emosi serta tingkahlaku pengguna apabila digunakan. Akibat daripada kesan ini, seseorang yang menyalahgunakan dadah akan menjadi ketagih dan akan terus bergantung hidup kepadanya.
Tanpa disedari, kita mungkin telah menggunakan beberapa jenis dadah dalam hidup anda. Ubat-ubat seperti ‘paracetamol’ dan ‘antibiotic’ membantu menyembuhkan kita sekiranya kita tidak sihat. Teh, kopi dan coklat juga mengandungi sejenis dadah rangsangan yang dikenali sebagai ‘caffeine’. Akan tetapi, dadah rangsangan seperti ini tidak mengakibatkan ketagihan yang bermasalah kepada individu, masyarakat dan Negara.
Dadah yang dilarang pengambilannya adalah jenis dadah yang mengakibatkan ketagihan dan masalah-masalah kesihatan, sosial, ekonomi dan sebagainya. Oleh itu, Kerajaan Malaysia telah mengubal Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mengharamkan penanaman, pengeluaran, pengedaran, import, eksport, pemilikan dan penyalahgunaan dadah.
Gejala Dadah Boleh Juga Dilihat Dari Sudut Agama
Berikut adalah pandangan agama-agama utama di dunia mengenai dadah yang diumpukkan dan diringkaskan seperti berikut:
Pandangan Agama Islam
Hukum dan larangan pengambilan dadah adalah jelas haram berdasarkan kepada dalil yang dikiaskan kepada arak. Dalam Al-Quran banyak menyebut mengenai pengharaman ini bersandarkan kepada keterangan nas-nas (Al-Quran dan Al-Hadis) kerana ia termasuk dalam pengertian umum benda-benda yang memabukkan, menghilangkan akal dan kedua-duanya mempunyai alasan hukum yang sama iaitu memabukkan atau terdapat dan membawa kebinasaan terhadap individu-individu dan masyarakat. Ini dapat dibayangkan melalui Firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan……” (Surah Al-Baqarah : 195)
Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Al Diar Al Masriah Al – Sabiq (bekas Mufti Mesir), Al Syeikh Hasanin Mahkluf dalam kitabnya, “Fatwa Al – Syari’iyah (muka surat 184) bahawa dadah adalah haram hukumnya dari segi penggunaan, pemberian dan membuat jualan perniagaan.
Berdasarkan kepada ayat-ayat Al – Quran dan Hadis para ulama menjelaskan bahawa penyalahgunaan dadah hukumnya haram. Pengharaman ke atas dadah meliputi semua kegiatan yang berkaitan dengan seperti yang diriwayatkan oleh Termizi dan Ibnu Majah, bahawa Rasulullah s.w.a. pernah melaknat tentang khamar.
“Rasulullah s.a.w melaknat tentang khamar, sepuluh golongan, (1) pembuatnya, (2) pengedarnya, (3) peminumnya, (4) pembawanya, (5) pengirimnya, (6) penuanganya, (7) penjualnya, (8) pemakan wang hasilnya, (9) pembelinya, (10) pemesannya.”
Pandangan Agama Buddha
Menurut Parabhava Sutta, Buddha pernah berkata:
Kemabukan dan ketagihan dadah adalah punca utama kejatuhan manusia. Seterusnya beliau pernah menyatakan bahawa “Siapa yang ketagih perempuan, arak, dadah, perjudian dan membazirkan segala pendapatnya akan menyebabkan kebinasaannya.”
Pendapat Buddha tentang dadah boleh dilihat daripada kata-kata Mahaguru Buddha dalam “Manggala Sutta”, iaitu memberhenti dan menjauhkan diri daripada kejahatan berhubungan dengan dadah dan sesuatu yang memabukkan dan berperang kepada kebaikan. Ini adalah satu restu yang paling tinggi.
Menurut Parabahava Sutta lagi, cara untuk membazirkan kekayaan yang seorang Buddist patut menggelakkan adalah:
1. bercenderong kepada minuman berarak dan dadah
2. berkeliaran di jalan pada waktu yang tidak menentu
3. melihat gambar-gambar yang mengkhayalkan
4. bersahabat dengan sahabat “jahat”
5. ketagih membazir masa
Daripada kata-kata Buddha di atas jelas menunjukkan pendirian agama Buddha terhadap dadah itu, iaitu cara yang boleh menghabiskan kekayaan dan membawa kebinasaan ialah ketagihan dadah.
Pandangan Agama Kristian
Agama Kristian berhujah bahawa penggunaan dadah boleh memisahkan kita daripada dunia yang sebenar. Ia boleh memburukkan peribadi serta menghalang kita untuk menghadapi masalah diri dan alam persekitaran yang kurang baik.
“Adakah kamu tahu bahawa tubuh kamu adalah tempat suci untuk ‘Holy Spirit’ yang ada di dalam kamu, yang kamu dianugerahkan oleh Tuhan”. (1 Cor. 6:19)
“Tuhan telah menjemput kita masyarkat yang adil dan penuh dengan kasih sayang. Dengan ini, kita dikehendaki memperkembangkan pontensi kita sebaik mungkin dan mengerahkan sebanyak kesedaran yang boleh. Pilihlah kehidupan yang lebih bermakna supaya kita dan keturunan kita akan hidup dengan bahagia”. (Deut. 30:19)
Pandangan Agama Hindu
Falsafah-falsafah Agama Hindu menyebut:
1. “Dipisahkan daripada deria adalah mereka yang memabukkan diri (pengguna dadah), tidak ada bezanya mereka daripada yang tidur mahupun yang telah mati”.
2. Manusia adalah makhluk yang berfikir, diharap dapat mengawal dan membendung segala tindak tanduknya dengan kuasa pemikirannya dan tidak sekali-sekali membiarkan pemikirannya menyeleweng daripada sebab memasukkan dadah ke dalam badan, yang bukan sahaja memusnahkan pemikiran tetapi juga tubuh fizikal.
3. Tubuh badan manusia dianggap sebagai makhluk tertinggi oleh penganut agama Hindu, tetapi kesucian ini telah dikaburi oleh kebodohan dan keangkuhan dengan mengambil dadah.
Pandangan Agama Sikh
Menurut Guru Granth Sahib (Kitab Suci Orang Sikh):
1. “Sesiapa yang mengambil ganja, candu atau marijuana, amalan berupa penziarahan tempat suci, puasa dan aktiviti agama yang lain adalah menjadi tidak berfaedah dan mereka akan ke neraka”. (muka surat 1377)
2. Disiplin orang Sikh adalah untuk “mengelakkan diri seseorang daripada penggunaan tembakau, hashish, ganja, opium, todi dan candu”.
Jelas setiap agama melarang pengikutnya mengunakan dadah. Malangnya agama tidak digunakan sebagai barisan depan melawan gejala ini. Pendekatan yang dilakukan selama ini tidak begitu berhasil. Mungkin telah tiba masanya barisan hadapan yang digunakan oleh pihak berkuasa memerangi dadah adalah dari segi agama. Para politik dan mereka yang mengelar diri mereka pejuang agama tidak patut membazirkan masa bertikam lidah siapa yang mempunyai hak muklak memanggil “Yang Maha Esa” atau berarak kesana-sini menggunakan kepala babi atau lembu. Segala kekuatan patut ditumpukan untuk mengatasi dadah yang akan memusnahkan akidah dan peradapan setiap penganut. Dadah tidak memilih agama, bangsa, keturunan atau kekayaan. Dadah hanya akan membuahkan satu hasil iaitu kemusnahan.
“BERSAMA KITA HAPUSKAN DADAH”
Rencana ini telah diterbit dan diedarkan melalui BULETIN GERAKAN4U APR 2010/BIL.2
by Sdr. Baljit Singh
Ketua Biro Perundangan & Hak Asasi Manusia

0 comment, be the first to comment